HULU TERENGGANU – Individu luar yang mahu memasuki kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Kuala Berang di sini yang dikuatkuasakan mulai esok perlu mendaftar di pintu masuk sekatan jalan raya (SJR).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, individu terbabit perlu menyatakan urusan mereka sebelum diarahkan mengemukakan bukti seperti imbasan daftar masuk aplikasi MySejahtera atau resit pembelian apabila mahu keluar dari kawasan PKPD terbabit.
Beliau menegaskan, kebenaran memasuki Kuala Berang sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD adalah hanya untuk urusan penting dan mustahak seperti rawatan kesihatan, pembelian ubat di farmasi dan lain-lain.
“Sebab itu, mereka perlu menulis nama, nombor kad pengenalan dan tujuan di SJR sebelum dibenarkan masuk ke kawasan PKPD.
“Mereka juga perlu mengemukakan bukti seperti resit pembelian atau imbasan daftar masuk di aplikasi MySejahtera telah pergi ke destinasi dinyatakan sebelum keluar menerusi SJR,” katanya ketika memantau persediaan PKPD Kuala Berang di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, kegagalan mengemukakan bukti boleh menyebabkan individu terbabit dikenakan tindakan kompaun secara serta-merta kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPD.
Dalam pada itu, Mohd. Adli menjelaskan aktiviti perkhidmatan penghantaran makanan terhad di sekitar kawasan Kuala Berang masih dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKPD sehingga 11 Jun depan. – K! ONLINE