fbpx

Pensyarah ‘gigit jari’ ditipu urusan beli peti ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Hilmi berdepan kerugian RM400 dalam urusan pembelian sebuah peti ais setelah diperdaya seorang lelaki bernama 'Azrin' semalam.

GEORGE TOWN – Seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di sini terpaksa berputih mata untuk memiliki sebuah peti ais baharu pada harga RM400 setelah dia dikatakan diperdaya sindiket penjualan produk elektrik itu semalam.

Mangsa, Mohd. Hilmi Mahmud, 35, berkata, dia tidak menyangka urusan pembelian menerusi sebuah platform e-dagang itu akhirnya membawa kepada penipuan membabitkan seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘Azrin’.

Menurutnya, dia mula tertarik dengan iklan mengenai penjualan sebuah peti ais dua tingkat berjenama Sharp itu berikutan harganya yang murah.

“Saya mula berurusan dengan pihak syarikat terbabit yang dipercayai dari Tanjung Tokong itu melalui platform tersebut pada pukul 1 petang semalam dan kemudiannya mengarahkan saya untuk berhubung menerusi sistem WhatsApp.

“Sebaik bersetuju untuk membeli peti ais tersebut, saya telah membuat pembayaran sebanyak RM400 secara dalam talian. Kurang tempoh sejam, lelaki yang dikenali sebagai Azrin itu kemudiannya berkongsi salinan invois.

“Saya mulai tidak sedap hati apabila lelaki tersebut meminta saya untuk memasukan lagi RM300 sebagai wang duti setem dalam tempoh 10 minit. Lelaki itu juga ada berkongsi gambar peti ais yang siap dibalut di atas kereta pacuan empat roda,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Hilmi memberitahu, susulan kejadian itu, lelaki tersebut tidak lagi berhubung dengannya sehingga ke hari ini dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Nibong pada pukul 8.25 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI