TANJUNG MALIM – Seorang peniaga daging terkejut melihat seekor ular sawa sepanjang 3.6 meter yang sedang ‘berehat’ di bawah meja di kedainya di Pasar Awam Felda Sungai Behrang di sini hari ini.
Kehadiran reptilia tersebut disedari lelaki berusia 30 tahun itu ketika sedang mengemas untuk memulakan perniagaan pada pukul 8 pagi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, sepasukan anggota lengkap dengan pakaian peralatan pelindung diri (PPE) dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada peniaga terbabit.
Katanya, pemeriksaan mendapati, ular seberat 40 kilogram berada di bawah meja konkrit tempat peniaga berkenaan menjual daging.
“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia itu menggunakan alat penangkap ular.
“Ular itu dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Muallim dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan ) Sungkai untuk tindakan lanjut,” katanya. – K! ONLINE