PETALING JAYA – Ketiadaan kemudahan talian internet tidak menjadi alasan kepada seorang pelajar berputus asa malah menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Demi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran, seorang pelajar perempuan gigih menghubungi rakan sekelasnya dengan menggunakan telefon rumah untuk ‘mendengar’ kelas tersebut menerusi corong telefon.
Menerusi satu video daripada aplikasi Tiktok berdurasi selama 58 saat yang tular, seorang pelajar dipapar menunjukkan kegigihan menggunakan telefon rumah sebagai inisiatif untuknya meneruskan kelas online walaupun tiada capaian internet pada ketika itu.
Pelajar perempuan tersebut, @nisa_rinaa, di laman Twitter berkata, kejadian itu berlaku selepas secara tiba-tiba capaian internet di rumahnya terputus mengakibatkan dia ‘terkeluar’ daripada kelas secara online yang sedang berlansung ketika itu.
“Namun memandangkan masih banyak yang perlu dibuat dan ada pembentangan yang perlu saya lakukan, saya seterusnya menghubungi rakan sekelas menggunakan telefon rumah dan menyertai kembali kelas tersebut menerusi corong telefon,” ujarnya menerusi video tular yang telah mendapat lebih daripada 165 ribu tontonan itu.
Rata-rata pengguna laman Twitter amat kagum dengan contoh yang diberikan oleh pelajar tersebut dan memuji tindakannya yang tidak berputus asa untuk menuntut ilmu.
“Terbaik dik! Ciri-ciri pemimpin ada di dalam diri awak kerana awak mampu untuk berfikir di luar kotak dan tidak banyak alasan walaupun ketiadaan capaian internet. Semangat, dik!” ciap @jiwakosong2021.
“Fuh, sangat kreatif dan inovatif. Boleh dicontohi oleh pelajar yang sedang belajar secara online di rumah,” ciap @MkhairulM di Twitter.-K!ONLINE