PETALING JAYA – Operasi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pulih sepenuhnya dan akan beroperasi seperti biasa pada pukul 3.45 petang hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia susulan kerja-kerja pemulihan dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan pemulihan Rapid Rail Sdn. Bhd sejak hari kejadian telah diselesaikan.
“Seramai 367 petugas dari Pasukan Pemulihan Rapid Rail bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembaikan selama 24 jam sehari dengan tiga shif.
“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah mengeluarkan kelulusan pada pukul 3 petang untuk membolehkan operasi tren berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis Stesen LRT KLCC di sini hari ini.
Tambah Ka Siong, kesemua 58 tren laluan Kelana Jaya akan digunakan dengan muatan 50 peratus berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).
“Kita juga akan membuka dua landasan berbanding satu landasan sebelum ini membabitkan stesen dari Damai hingga ke Pasar Seni bagi mengelakkan kelewatan di waktu puncak.
“Sebelum ini, frekuensi tidak mencukupi kerana kita berlandaskan satu landasan di laluan tersebut menyebabkan berlaku sedikit kelewatan,” katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya juga memberi jaminan keselamatan terhadap penumpang yang menggunakan perkhidmatan terbabit.
“Kita amat mementingkan aspek keselamatan penumpang dan sentiasa memperbaiki kelancaran operasi bagi memudahkan semua pihak,” jelasnya. -K ONLINE.