TUSCANY, Itali – Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli mengakui bersedia untuk menawan Litar Mugello pada perlumbaan Grand Prix (GP) Itali sempena kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) yang akan berlangsung Ahad ini.
Kata Morbidelli, bersaing di negara kelahiran memberi motivasi tambahan buat dirinya secara peribadi dalam usaha untuk melakar keputusan positif selepas hanya meraih satu kedudukan podium dalam perlumbaan musim ini di Litar Jerez pada saingan GP Sepanyol.
“Saya kini sudah melakukan persiapan terbaik selain mendapat kecergasan penuh untuk bersaing pada GP Itali di Litar Mugello minggu ini. Secara jujur, perasaan saya cukup teruja kerana perlumbaan di sini (Mugello) dibatalkan pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
“Meskipun masih lagi terpaksa bersaing tanpa kehadiran penonton, saya tetap akan memberikan seratus peratus di atas litar dalam usaha mengumpul sebanyak mata yang boleh buat pasukan,” kata Morbidelli.
Pelumba berusia 27 tahun itu turut mengakui dirinya sudah cergas daripada kecederaan lutut yang dialami sebelum mengharungi GP Perancis di Litar Le Mans awal bulan ini sekali gus berpotensi untuk menamatkan perlumbaan kali ini dengan lebih cemerlang.
“Saya sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan tahap keyakinan saya memuncak dalam memastikan keputusan positif dapat dilakar. Malah, tidak keterlaluan untuk saya katakan Mugello adalah salah satu litar kegemaran saya kerana ia memiliki keunikan tersendiri,” katanya.
Sebagai rekod, Morbidelli ketika ini terpaksa berpuas hati di kedudukan kelapan kategori pelumba keseluruhan selepas mengutip 33 mata dengan perbezaan sebanyak 47 mata berbanding pendahulu, Fabio Quartararo yang mewakili pasukan Monster Yamaha. – AGENSI