PUTRAJAYA – Perkongsian yang tular di media sosial sejak kelmarin mengenai penahanan seorang warga Malaysia oleh pihak Israel dikenali sebagai Dr. Nur masih menjadi misteri apabila identiti individu tersebut masih tidak diketahui.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, pihaknya tidak dapat mengenal pasti butiran peribadi serta perincian insiden yang menimpa Dr. Nur yang dikatakan ditahan pihak Israel.
Hal itu sekali gus menyulitkan usaha Perwakilan Malaysia untuk menghubungi dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada individu tersebut.
Semakan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan juga mendapati bahawa tiada individu bernama Dr. Nur yang mendaftarkan keberadaan diri di Palestin atau menghubungi Perwakilan Malaysia untuk mendapatkan bantuan.
Dalam masa sama, Kementerian Luar telah pun berhubung dengan pihak berkuasa negara ini untuk membantu mengenal pasti identiti dan keberadaan Dr. Nur.
“Kementerian Luar telah mengumpul maklumat berkenaan laporan yang dikemukakan oleh orang awam termasuk tangkap layar status-status di media sosial berhubung insiden yang menimpa Dr. Nur.
“Maklumat tersebut dipanjangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Kementerian Luar juga telah cuba menghubungi dua individu yang didakwa berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Dr. Nur, namun kedua-dua mereka tidak dapat dihubungi.
Dalam pada itu, satu sumber memberitahu, tidak ada pegawai bernama Dr. Aida dan Dr. Shafiq yang bertugas di HKL.
“Setakat ini, memang tiada maklumat atau nama Dr. Aida dan Dr. Shafiq yang bekerja di HKL. Maklumat berkaitan Dr. Nur juga tiada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Kementerian Luar menggesa penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi serta pemilik akaun Instagram @iesya_toh, Iesya Toh untuk tampil mengemukakan maklumat berkaitan Dr. Nur.
“Mana-mana individu lain yang mempunyai maklumat sahih berhubung identiti serta keberadaan Dr. Nur turut digesa tampil dan mengemukakan maklumat tersebut melalui e-mel [email protected],” jelasnya.-K! ONLINE