LALUAN skuad Harimau Malaya untuk meraih slot automatik ke Piala Asia 2023 selain meloloskan diri ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 fasa ketiga nampak sukar selepas Persekutusan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan mekanisma baharu semalam.
Langkah itu dibuat selepas negara Korea Utara mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai baki kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan.
Menurut kenyataan FIFA, mata pasukan di kedudukan kedua ke atas pasukan tercorot setiap kumpulan yang bersaing merebut tempat teratas bagi melayakkan ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 seterusnya tidak akan dikira.
“Bagi berlaku adil kepada semua pasukan di peringkat kumpulan, jumlah kutipan mata bagi pasukan di kedudukan kedua untuk menentukan empat pasukan terbaik nanti ke atas pasukan tercorot tidak akan dikira,” kata kenyataan FIFA semalam.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ketika ini memegang status naib juara Kumpulan G dengan sembilan mata ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.
Namun, sekiranya kedudukan kedua itu kekal sehingga tamat saingan peringkat kumpulan, skuad negara akan dipotong enam mata hasil dua kemenangan yang dicatatkan ke atas pasukan tercorot Kumpulan G, Indonesia sebelum ini.
Keputusan itu sekali gus menyukarkan hasrat Harimau Malaya untuk meraih slot automatik ke Piala Asia 2023 selain melangkah ke pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 seterus sebaliknya.
Cara terbaik yang ada ketika ini bagi menjamin tempat buat skuad negara adalah menamatkan saingan Kumpulan G dengan status juara.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima surat daripada FIFA dan akan berbincang lanjut dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).