KLANG – Tindakan melampau seorang juruteknik menunjukkan kemaluannya kepada jirannya yang merupakan remaja perempuan berusia 14 tahun membawa padah apabila dicekup, semalam.
Suspek berusia 43 tahun itu ditangkap pukul 2 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanannya susulan laporan dibuat mangsa yang telah diganggu secara seksual oleh suspek yang merupakan jiran sebelah rumahnya itu di sebuah kampung di daerah ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam pada Ahad lalu ketika mangsa sedang memberikan makanan kepada kucing di hadapan rumahnya.
“Suspek kemudiannya datang dan berbual dengan mangsa sebelum memegang, mengeluarkan dan menunjukkan kemaluannya kepada remaja perempuan tersebut.
“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek terus berlari masuk ke dalam rumahnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja di salah sebuah pelabuhan di daerah ini tidak mempunyai masalah mental.
Shamsul Amar turut menegaskan, ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – K! ONLINE