PETALING JAYA – Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM2.17 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 berakhir 31 Mac lalu,naik 12.8 peratus berbanding RM1.93 bilion tempoh sama tahun lalu.
Bagi keputusan untuk suku ketiga pula, bank itu mencatat kenaikan dalam keuntungan bersihnya kepada RM771.47 juta berbanding RM543.79 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata, prestasi menggalakkan itu dipacu oleh faktor usaha berterusannya dalam melaksanakan strategi, pengurusan kos yang cermat, pertumbuhan pinjaman, pengewangan berdisiplin dan pengurusan proaktif pelanggan yang menghadapi gangguan aliran tunai atau pendapatan disebabkan pandemik.
Menurut beliau, berdasarkan faktor tersebut, pertumbuhan pinjaman dan pengewangan kasarnya meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun.
“Ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang melonjak semula selain disokong oleh perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat bersama pendanaan yang dikeluarkan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan korporat.
“Selain menyediakan bantuan yang diperlukan kepada pelanggan, kami juga secara konsisten memantau kualiti aset, menamatkan suku tahun dengan nisbah pinjaman susut nilai kasar (GIL) yang stabil,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Hasil HLB untuk sembilan bulan pertama meningkat 15.4 peratus tahun ke tahun kepada RM4.14 bilion, disokong oleh perkembangan dalam pinjaman/pengewangan dan pengurusan aset-liabiliti yang cermat.
Pendapatan faedah bersihnya meningkat untuk suku ketiga berturut-turut kepada RM1.10 bilion pada suku ketiga, tumbuh 30.6 peratus tahun ke tahun hasil usaha berterusannya dalam menguruskan kos pendanaan dan pengembangan pinjaman/pengewangan.