MENGETENGAHKAN kehandalan seni bela diri dalam masyarakat di Malaysia, sebuah program berjudul, Fit For Action menemui penonton tidak lama lagi.
Berbeza dengan program pencarian bakat yang pernah disiarkan menerusi TV3 sebelum ini, Fit For Action merupakan sebuah program realiti yang bakal memaparkan 12 orang peserta terdiri daripada enam peserta lelaki dan enam peserta perempuan.
Kesemua peserta itu bakal menempuhi 32 cabaran fizikal dan 12 cabaran lakonan untuk menentukan seorang pemenang dalam kalangan peserta lelaki dan seorang pemenang peserta perempuan.
Kemenangan dua peserta itu memberi peluang kepada mereka untuk menyandang watak dalam filem aksi terbitan Grand Briliance.
Menariknya, program berkenaan membuka peluang kepada mana-mana individu berbakat, mempunyai kemahiran seni dan berhasrat bergelar pelakon untuk menyertai uji bakat Fit For Action yang sedang berlangsung dalam platform media sosial.
Secara tidak langsung, program Fit For Action ini membuka jalan untuk peserta yang ingin menjadi bintang aksi sebaris dengan nama-nama pelakon handalan tempatan antaranya Aaron Aziz, Remy Ishak, Zul Ariffin, Fazura, Shaheizy Sam dan Hairul Azreen.
Jika berminat untuk mempamerkan bakat dan aksi lasak dalam kaca televisyen, sekali gus mencipta nama dalam industri seni hiburan tempatan, peserta boleh memuat naik video aksi mereka menerusi Instagram atau Facebook peribadi masing-masing.
Video lakonan aksi atau bersukan yang hendak dimuat naik haruslah disertakan dengan dialog ringkas tidak melebihi satu minit.
Jangan lupa untuk sertakan bersama tanda pagar #FITFORACTION dalam setiap hantaran Instagram atau Facebook selewat-lewatnya 30 Mei 2021.
Syarat penyertaan Fit For Action juga terbuka kepada warganegara Malaysia, lelaki dan perempuan yang berusia dari 18 hingga 35 tahun. Pada masa sama, akaun media sosial mestilah ditetapkan dalam mood umum. Pihak produksi akan menghubungi peserta yang disenarai pendek.
Maklumat lanjut tentang program terbitan TV3 tersebut boleh dilayari menerusi www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter, @TV3Malaysia.