MILAN – Pengarah Sukan ACMilan, Paolo Maldini mengesahkan bahawa penjaga gol mereka, Gianluigi Donnarumma bakal meninggalkan pasukan itu secara percuma penghujung musim ini.
Jangkaan Donnarumma meninggalkan Milan sudah dapat diagak selepas kontraknya berakhir musim ini dan Milan pula dikatakan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Lille, Mike Maignan yang dilaporkan sudah menjalani ujian perubatan.
Walaupun bertekad untuk mengakhiri karier di Milan, namun hala tuju Donnarumma masih belum jelas biarpun beberapa pasukan seperti Juventus, Manchester United dan Chelsea berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
“Saya fikir kita patut mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang memberikan sumbangan untuk musim yang sangat menakjubkan ini.
“Gigio adalah seorang pemimpin dan dia juga adakalanya mengemudi pasukan ini sebagai kapten. Kadang kala orang menganggap untuk menjadi profesional, seseorang pemain perlu menukar kelab.
“Ia sukar untuk diterima pada saya tetapi dalam dunia bola sepak sekarang sukar untuk mencari pemain yang kekal dengan satu kelab sepanjang karier mereka.
“Kita perlu memberi penghormatan kepada mereka yang telah memberikan sumbangan untuk Milan. Adakalanya anda perlu berubah angin dan saya berharap Donnarumma akan terus berjaya di masa akan datang,” kata Maldini.
Spekulasi perpindahan Donnarumma sebelum ini menimbulkan kemarahan penyokong apabila dia dikatakan enggan menandatangani kontrak baharu untuk menyertai Juventus secara percuma. – AGENSI