MELAKA – Seramai tujuh peniaga termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki rokok dan arak seludup bernilai lebih RM50,000.
Kesemua tertuduh, Kua Kit Seong, 33;Peter Tan, 32; Aaron Lee, 21;Loy Teck Weng, 33;Yong Pak Ting, 37; Medina Begam Mohamad, 44 dan Lim Ying Siew, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara bersaingan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Nor.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki barangan larangan import iaitu pelbagai jenis rokok dan minuman alkohol bernilai keseluruhan RM55,882.
Tindakan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara 13 November 2018 hingga 31 Disember 2020.
Bagi kesalahan tersebut, setiap tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM50,000.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 26 Julai sebagai sebutan semula terhadap Kit Seong, Peter, Aaron dan Ying Siew.-K! ONLINE