fbpx

Tokan dadah ‘tiga bulan’ dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah jenis methamphetamine yang dirampas daripada seorang lelaki tempatan yang disyaki mendalangi aktiviti pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang. / FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang menerusi satu serbuan di Jalan Sri Utara, Kepong di sini pada 24 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat risikan kira-kira pukul 4 petang oleh sepasukan polis dari JSJN Kuala Lumpur dan JSJN Pahang.

“Pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di dalam sebuah kereta jenis Mercedes di tepi Jalan Sri Utara Kepong yang seterusnya membawa polis ke sebuah kondominium di Jalan Kuching.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan suspek dan kondominium tersebut telah menemui dadah disyaki jenis methamphetamine yang keseluruhannya dianggarkan seberat 5.70 kilogram,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adnan, pihak polis telah membuat rampasan ke atas dadah tersebut yang dianggarkan bernilai RM201,960 termasuk sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton dan wang tunai berjumlah RM10,000.

“Siasatan awal yang dilakukan mendapati unit kondominium tersebut telah disewa selama kira-kira lapan bulan dengan bayaran sewa RM1,800 sebulan dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Dengan penahanan suspek, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Tambah beliau, keseluruhan dadah yang dirampas menerusi serbuan tersebut boleh dibekalkan kepada kira-kira 5,660 orang penagih dadah.

“Suspek kini direman sehingga 31 Mei ini dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukumangantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” tegas beliau – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI