fbpx

Tindakan beratur panjang di restoran makanan segera memalukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan masyarakat tempatan berbaris panjang semata-semata untuk mendapatkan produk makanan segera yang dikatakan tular, semalam.

SIBU – Tindakan masyarakat tempatan yang berbaris panjang semata-semata untuk mendapatkan produk makanan segera yang dikatakan tular di Jalan Sanyan di sini, pagi semalam disifatkan sebagai perkara yang ‘memalukan’.

Dalam membuat kenyataan berkenaan, Koordinator Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata, orang ramai seharusnya bertimbang rasa kepada pihak ‘frontliners’ yang sedang berusaha untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19.

“Saya telah menerima beratus-ratus mesej dari frontliners yang menyatakan mereka amat sedih dan kecewa dengan perkara yang viral ini.

“Apabila saya melawat ke pusat vaksinasi baru-baru ini, mereka (frontliners) tidak sempat makan (tengah hari) pun semasa bertugas untuk menentang wabak Covid-19 tetapi orang ramai sewenang-wenangnya berbuat demikian (berbaris panjang dan meningkatkan risiko jangkitan),” katanya dalam satu video yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook miliknya, petang semalam.

Tambahnya lagi, orang ramai disarankan untuk menggunakan alternatif lain untuk membuat tempahan makanan secara dalam talian dan melalui khidmat penghantaran ke rumah kerana tindakan berbaris beramai-ramai di premis makanan sebegitu adalah sangat berbahaya dan berisiko tinggi untuk penyebaran virus.

“Walaupun kapasiti bilangan katil di hospital masih mencukupi, kekosongan itu semakin penuh dan bakal menjadi satu masalah jika Bahagian Sibu masih merekodkan jumlah kes positif harian yang tinggi.

“Ramai yang minta untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tetapi bagi saya, kita semua ada peranan penting untuk mengelakkan perkara macam ini berlaku. Tidak perlu nak tunggu PKP,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI