KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) sebelum susur keluar ke Kuala Ampang di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang berdekatan.
“Seramai lima anggota dan seorang pegawai dari BBP Ampang yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian mendapati kejadian melibatkan sebanyak lima buah kenderaan pelbagai jenis dan kesemua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam.
“Seorang mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala lima lagi mengalami pelbagai jenis kecederaan. Tiga mangsa dibawa ke Hospital Ampang menggunakan ambulans manakala dua lagi dibawa oleh orang awam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Norazam, anggota bertugas kemudiannya membuat kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan sisa kemalangan yang terdapat di lokasi kejadian dengan dibantu oleh pekerja AKLEH menggunakan satu aliran salur bantu mula dan serbuk kayu.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan kejadian memaklumkan siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Terdapat seorang mangsa dilaporkan maut susulan kemalangan itu dan siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan oleh pegawai penyiasat,” ujarnya ringkas. -K!ONLINE