PETALING JAYA – Bekas madu Izreen Azminda, Intan Liana Saleh menegaskan belum sedia memaafkan pelakon itu biarpun sudah dipertemukan dalam program Melodi Raya, baru-baru ini.
Katanya, hanya masa yang mampu memulihkan keadaan selain berharap mana-mana pihak tidak perlu mengaitkan atau mencalarkan nama sesiapa dengan mengaitkan isu sama pada masa akan datang.
“Soal peribadi tidak perlu disensasikan kerana semua itu membabitkan hati dan perasaan, malah saya juga bukan selebriti yang boleh dijadikan topik perbualan.
“Cukuplah apa yang pernah saya hadapi dahulu. Maka biarlah masa yang memulihkan segala-galanya. Buat masa sekarang biarlah keadaan berjalan seperti sediakala.
“Masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Itu lebih baik untuk kedua-dua belah pihak,” katanya mengulas permintaan maaf aktres berkenaan.
Ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata hanya meninggalkan status penuh tersirat di laman sosial selepas Izreen meluahkan rasa syukur dapat bersemuka dengan wanita itu pada awal Syawal lalu.
Pelakon berkenaan mengakui sudah meminta maaf kepada Intan sebanyak tiga kali ketika pertemuan mereka dalam Melodi Raya di bawah segmen Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih.
Intan merupakan bekas isteri kepada pemuzik bebas, Ude Wahid atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid yang kini menjadi suami Izreen.
Mereka bercerai talak satu pada 22 Mac 2018 selepas lima tahun mendirikan rumah tangga iaitu beberapa bulan selepas Ude mengahwini Izreen dalam sebuah majlis tertutup, 8 Ogos 2017.
Hasil perkongsian hidup Intan dan Ude, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4, manakala Izreen kini hamil anak kedua bersama pemuzik tersebut.
Menerusi perkahwinan terdahulu pula, aktres terbabit mempunyai seorang anak lelaki, Muhamad Adrian Umar yang kini sudah mencecah lapan tahun.
Sementara itu, mengenai undangan Melodi, Intan meengakui menerima pelawaan pihak penerbitan atas dasar profesionalisme namun tidak dimaklumkan mengenai sesi temu bual antara mereka berdua.
“Saya hanya dimaklumkan mengenai segmen itu selain Izreen ada di set rakaman dan diletakkan di meja sama, bukan bersebelahan. Saya bersetuju hanya selepas memastikan tiada sesi bermaafan.
“Sebagai orang biasa yang bukan berada dalam dunia hiburan, pemahaman saya cuma datang sebagai jemputan bukan untuk ditemu bual bersama-sama.
“Namun keadaan berubah apabila tiba di set saya diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), maka set berubah dan diwawancara bersama Izreen bagi segmen berkenaan.
“Supaya tidak mengganggu program rakaman yang sedang berjalan, saya terima aturan sesi temu bual dalam keadaan tidak bersedia,” katanya lagi mengenai raut wajahnya yang kelihatan terkejut ketika itu.
Ulasnya lagi, segala yang terlihat dalam sesi temu bual yang berlangsung dalam rakaman berkenaan adalah secara spontan bagi menjawab soalan yang diajukan. – K! ONLINE