TAIPING – Industri penyediaan perkhidmatan berkaitan perkahwinan antara bidang yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun lalu.
Ramai usahawan yang terpaksa gulung tikar.
Bagi butik Sazlees Bridal Gallery & Hair Saloon (Sazlees Bridal), ia masih mampu bertahan sehingga kini kerana usahanya mendapatkan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan.
Pengasas syarikat, Azie Nabika Mohd. Zaini berkata, Geran Khas Prihatin dan Program Subsidi Upah telah membolehkan syarikat yang berusia lebih daripada 25 tahun itu menggunakan peluang berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kelonggaran daripada kerajaan yang membenarkan kami mengoperasikan salun rambut telah dimanfaatkan sepenuhnya dan ramai pelanggan datang berkunjung mengikut amalan prosedur standard yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di butiknya di sini baru-baru ini.
Azie Nabika menjelaskan, perkhidmatan seperti solekan, penyediaan pelamin dan pakaian pengantin tetap diteruskan bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Tambah beliau, bersesuaian dengan persekitaran ekonomi semasa dan untuk meneruskan kelangsungan hidup, butiknya kini menawarkan harga perkhidmatan yang fleksibel bagi mengikut bajet pelanggan.
“Kita dalam dunia andaman pada masa sekarang, sudah tidak boleh terikat pada harga yang lama.
“Pelanggan sudah tidak mempunyai bajet yang besar seperti dulu.
“Suasana terkini juga tidak mengizinkan sebuah majlis perkahwinan yang besar besaran dilaksanakan”, katanya.