fbpx

Sarawak akhirnya laksana PKP mulai 29 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUCHING — Sarawak, satu-satunya negeri yang sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini, telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri itu mulai 29 Mei hingga 11 Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan terbabit telah dibuat berikutan peningkatan kes dan bilangan kluster berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah terutamanya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru baru ini.

“Mengambil kira situasi Covid-19 di Sarawak yang semakin meruncing, situasi fasiliti kesihatan yang kritikal, dan tambahan lagi dengan varian baru (VOC) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan Covid-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi.

“Dengan ini, JPBNS telah memutuskan untuk mengisytiharkan pelaksanaan PKP di seluruh Sarawak bagi tempoh 29 Mei hingga 11 Jun depan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, SOP yang lebih ketat di bawah PKP dan kawalan pergerakan dalam tempoh beberapa minggu amat penting bagi membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 di Sarawak.

Uggah turut menyeru rakyat Sarawak yang belum berdaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 agar bertindak segera dengan membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, laman web JKJAV atau menghubungi Pejabat Daerah berdekatan.

Beliau turut meminta rakyat Sarawak terutamanya mereka yang akan menyambut Hari Gawai agar mematuhi SOP yang telah dikeluarkan.

“Sambutlah Gawai dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja atau di ‘bilik’ (Rumah Panjang) masing-masing atau menggunakan teknologi berhubung secara maya.

“Jangan balik rumah panjang atau kampung, duduk di rumah sahaja, jangan melakukan sebarang aktiviti ziarah atau ‘ngabang’, jangan berkumpul di suatu tempat atau ruai, usah menganjurkan aktiviti sabung ayam, dan sentiasa mematuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan,” katanya lagi.

Sarawak telah mencatatkan 772 kes positif hari ini, iaitu kedua tertinggi dalam negara selepas negeri Selangor.

Ia juga mencatatkan sembilan kes kematian baharu hari ini, membawa jumlah kematian Covid-19 sebanyak 97 kes.

Sebelum ini, Sarawak telah mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan SOP yang telah diperketatkan sejak 12 Mei lalu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI