PUTRAJAYA – Peruntukan RM70 juta bukan semata-mata untuk pembangunan laman web www.vaksincovid.my tetapi turut meliputi beberapa aspek teknikal lain dalam pengurusan dan pencapaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, RM70 juta yang diperuntukkan bukanlah jumlah sebenar, sebaliknya ia adalah paras siling yang ditetapkan kerajaan dalam menjayakan program vaksinasi terbesar itu.
“Jumlah itu adalah had siling dan tidak semestinya peruntukan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan,” katanya pada sidang akhbar secara dalam talian hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peruntukan itu melibatkan perbelanjaan dalam pembangunan dashboard pelaporan harian PICK, integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data aplikasi MySejahtera dan sistem sedia ada Kementerian Kesihatan.
“Ia juga diperuntukkan untuk membangunkan sistem pengesanan dan pendaftaran vaksinasi serta perkhidmatan Google Map dalam aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, peruntukan itu turut melibatkan pembangunan sistem genomik survelan dan sistem survelan imunisasi, perolehan sistem pengurusan queue mobile untuk pusat pemberian vaksin dan integrasi sistem pasport digital dalam MySejahtera,” katanya.
Menurutnya, peruntukan itu juga melibatkan sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin, pusat pengendalian call-centre serta sistem MyVac bagi pengurusan mobilisasi sukarelawan dalam pelaksanaan PICK.
“Ia juga meliputi penghantaran khidmat pesanan ringkas serta panggilan telefon bagi peringatan vaksinasi sebelum tarikh janji temu,” katanya. -K! ONLINE