SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan antara enam individu yang ditahan dalam satu parti liar di sebuah hotel di sini awal pagi ini.
Dalam serbuan Ops Cantas dan Ops Covid kira-kira pukul 1.30 pagi itu, dua wanita berusia 17 dan 21 tahun tersebut dipercayai mengambil minuman keras serta dadah bersama empat lelaki di dalam bilik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua wanita terbabit masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai di sini dan di Kuala Ketil.
“Tiga lelaki bekerja sebagai pemandu lori dan seorang lagi pencuci kereta yang berumur antara 28 hingga 33 tahun merupakan penduduk daerah Kuala Muda,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya merampas satu peket plastik lut sinar di dalamnya berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 0.8 gram daripada salah seorang lelaki yang ditahan.
“Kesemua mereka mengaku menyewa bilik di situ untuk berparti liar kerana rasa selamat berbuat demikian selepas kerajaan melarang sebarang penganjuran aktiviti berikutan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” tambahnya. – K! ONLINE