SHAH ALAM – Seorang pembantu tadbir kanan di Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dekat sini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan menerima rasuah RM64,892 termasuk bagi bayaran pendahuluan kereta jenis Volkswagen Polo, lapan tahun lalu.
Tertuduh, Yusri Said, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut kesemua pertuduhan, Yusri yang telah berkhidmat di UIAM selama 30 tahun didakwa menerima wang tunai berjumlah RM55,800 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk membantu memudahkan urusan syarikat Iklanika Sdn. Bhd., NII Resources dan Niin Resources mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran bagi kerja-kerja penerbitan, percetakan, booth, baik pulih galeri di UIAM.
Wang rasuah itu termasuk bagi bayaran nombor pendaftaran kenderaan jenis Volkswagen Polo H/B 1.6 dengan nombor pendaftaran BMR49.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut didakwa menerima suapan melalui dua cek berjumlah RM9,092 bagi bayaran pendahuluan pembelian kereta Volkswagen dan Body Kit kenderaan tersebut.
Dia yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM3,200 didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Iklanika Sdn. Bhd. di Pusat Bandar Sri Gombak, GB Auto Sdn. Bhd. di Batu Caves, Gombak antara 8 Februari 2013 hingga 30 Mac 2015.
Turut mengaku tidak bersalah pada prosiding tersebut adalah Mohd. Hakimi Badrol Afandi, 44, yang bertugas sebagai penolong pengarah di bahagian sama didakwa memperoleh rasuah wang tunai sebanyak RM5,000 daripada individu sama untuk membantu memudahkan urusan syarikat NII Resources mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar bayaran bernombor PV11314000051 bertarikh 7 Mac 2014 -Exhibition Panels (EZ Line 20).
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(10) Akta yang sama.
Mereka juga didakwa masing-masing satu dan sembilan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing RM5,000 dan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohd. Hakimi dan Yusri selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 Jun depan. -K!ONLINE