Oleh NUR NABILAH RAHMAT
KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dipandu bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Parit Ismail, Simpang Renggam di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9.53 pagi itu, mangsa, M Sasitaran, 25, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduknya.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ismail Rahmat berkata, sebuah jentera pemadam kebakaran dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di Iokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori jenis Hino dan sebuah kereta jenis Proton Exora.
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE