KEMUNCULAN beberapa ‘band girl’ atau kumpulan wanita memberi warna baharu dalam industri muzik tanah air. Apatah lagi genre dan lagu yang diketengahkan segar dan mesra telinga.
Bersandarkan pengalaman dua bintang, Stacy dan Akim Ahmad menerusi syarikat rakaman, Rhythm & Rhyme Entertainment, Nona kini lahir sebagai sebuah kumpulan baharu.
Dianggotai oleh Raja Nuraizureen Raja Azahari, 25 yang mahu dikenal dengan nama pentas Nona Raja, Low Kar Yee Angela, 26, (Nona Lela) dan Erika Rianty Anthony, 21, (Nona Rika) Nona sekali gus menjadi bukti semangat pasangan suami isteri itu terhadap dunia muzik.
Stacy turun ilmu
Menurut Stacy, perjalanan pembentukan Nona mengambil masa panjang iaitu sejak tahun 2019.
“Apabila sudah ada pengetahuan dan berdasarkan pengalaman, saya dan Akim memikirkan sudah sampai waktu menzahirkan karya kepada orang lain. Dengan konsep dan hala tuju yang ada, kami terapkan kepada orang baharu.
“Awalnya, Nona ada ramai anggota dan banyak kali bertukar. Ketika itu kami masih mencari kekuatan dan karakter yang perlu dibawa Nona. Jadi apabila sudah dapat tiga terbaik, baru kami mulakan latihan sejak Oktober tahun lalu. Sejak itu, saya banyak masa dengan mereka,” jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan jolokan Ratu Tari itu.
Bertuahnya Nona, mereka ada Stacy, Akim yang banyak mencurahkan ilmu muzik dan berkongsi pengalaman.
“Raja dan Lela ialah penari profesional dan sudah biasa mengiringi persembahan penyanyi lain. Rika pula bekas protege saya dalam Mentor Milenia. Jadi, nak menjadikan Raja dan Lela sebagai penyanyi, manakala Rika sebagai penari, itu cabaran.
“Pelantun lagu Pakai Buang itu yakin, Nona bukan sahaja penyanyi bahkan penghibur dengan identiti tersendiri.
“Perjalanan nak satukan mereka juga agak susah. Masing-masing tidak saling mengenali melainkan Lela dan Raja. Pernah satu tahap mereka bergaduh ketika proses rakaman video muzik.
Lama-kelamaan, apabila mereka tidur di studio selama dua minggu, baharulah nampak keserasian, barulah mereka dapat belajar dan terima pelajaran dengan senang,” katanya.
Saingan Dolla
Berkongsi mengenai single pengenalan Nona berjudul Kasuari beserta video muzik, Stacy berkata genre diketengahkan adalah pop.
“Genre pop dipilih berdasarkan perbincangan dan keputusan semua. Mereka juga selesa dengan genre ini dan mahu mengetengahkan M-Pop,” katanya.
Ditanya, adakah Nona bakal memberi saingan baharu kepada kumpulan Dolla yang kian mencipta nama, Stacy berkata, perkara sebegitu satu kelaziman dalam industri muzik.
“Inilah kerja kami sebagai anak seni.Dalam tak sedar kami memberi warna dan saingan sihat dalam industri.
“Dahulu saya pernah menyertai Evoke, jadi ada pengalaman sikit. Apabila Dolla dan De Fam muncul, sedikit sebanyak memberi semangat untuk orang lain. Bagi yang sukakan K-pop, boleh jadikan M-Pop pula sebagai muzik pilihan selepas ini.
“Nak cari yang mahu terbabit dalam bidang ini ramai, tetapi nak yang cari pandai dengar kata, susah. Jadi Nona akan sama-sama memberikan saingan sihat,” katanya.
Peluang, titik keserasian
Bagi Nona Raja, bersatu menjadi satu kumpulan dalam Nona memberikan peluang buat dirinya saling mengenali anggota lain.
“Saya memang penari. Sejak kecil sampai dewasa tidak pula terfikir nak menjadi penyanyi. Apabila diberi peluang saya cuba fokus. Sejak sama-sama berlatih bermula Oktober tahun lalu, kami dapat mengenali antara satu sama lain.
“Daripada situ, tahu perangai dan kemampuan masing-masing. Kami saling memperbaiki kelemahan. Diakui ada turun dan naik, terapi semua itu buat kami bersatu sebagai pasukan,” katanya.
Nona Lela pula menyifatkan pembabitan dalam Nona sebagai rezeki terpijak.
“Saya bekerja sebagai pramugari tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya terkesan sehingga hilang pendapatan.
“Jadi, Nona ialah rezeki PKP apabila Stacy menawarkan peluang terbabit dalam Nona. Saya anggap akan ada harapan baharu.
“Lagi pun, saya memang minat menari dan menyanyi. Saya ambil peluang ini untuk buka buku baharu. Biarpun tidak ada pengalaman luas, saya ambil sebagai rezeki dan terima cabaran ini,” katanya.
Nona Rika juga berharap kemunculan Nona dalam industri muzik tempatan dapat diterima baik.
“Saya percaya, setiap daripada kami ada kelebihan masing-masing. Sebab pihak pengurusan menyatukan kami sebagai kumpulan.
“Malah, menerusi single pertama ini, kami berharap peminat dapat memberi sokongan dan terima muzik yang dibawa. Sebagai orang baharu, tentu saja kami perlukan sokongan. Namun, kami juga bersedia untuk sebarang kritikan yang membina,” katanya.
Diminta mengulas kemunculan mereka bakal memberi saingan kepada Dolla, Rika mewakili anggota kumpulan berkata, mereka cuba memberikan yang terbaik.
“Bagi kami tidak timbul soal nak bersaing. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Mereka (Dolla) sudah ada peminat tersendiri, sementara kami masih baharu. Apa yang diharapkan adalah sokongan daripada semua pihak.
“Malah menerusi single pertama, ini peluang kami menonjolkan bakat selain ingin memberi yang terbaik. Kami percaya peminat muzik juga mempunyai cita rasa berbeza,” tutupnya.