PEMAIN berdarah kacukan negara, Junior Eldstal mengakui tidak tertekan apabila dijangka menggalas tanggungjawab getir di posisi pertahanan pada baki saingan Kumpulan G bagi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula minggu depan.
Sebagai rekod, Junior yang boleh beraksi sebagai pemain tengah dan pertahanan tengah mungkin diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan dalam kesebelasan utama nanti.
Ini kerana, skuad negara kehilangan benteng ampuh, Shahrul Saad yang tidak bersama skuad negara kerana mengalami kecederaan, manakala tonggak tengah berpengaruh, Brendan Gan pula digantung satu perlawanan untuk aksi bertemu UAE.
“Saya akui Brendan dan Shahrul adalah dua pemain yang cukup komited dalam memberi 100 peratus di atas padang. Namun, situasi sama juga boleh diharapkan buat saya jika diberi peluang nanti.
“Secara jujur, diberi tugas beraksi di posisi pertahanan tengah atau pemain tengah tidak memberikan masalah tetapi apa yang penting saya tidak mahu menjadikan tugas tersebut sebagai tekanan,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.
Dalam perkembangan sama, pemain berdarah Malaysia-Sweden itu turut mengakui tidak akan mensia-siakan peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama sejak 2016.
“Saya pernah berhenti daripada bola sepak profesional selama dua tahun dan selepas mempamerkan prestasi yang memuaskan bersama Chonburi FC di Liga Thailand, saya dapat kembali diserapkan dalam skuad kebangsaan.
“Sudah menjadi impian semua pemain untuk beraksi untuk skuad negara dan saya berazam untuk memberikan yang terbaik sekiranya diberi peluang.
“Buat masa ini, fokus adalah untuk meraih keputusan positif pada tiga perlawanan Kumpulan G menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand nanti,” katanya.
Sebelum mengharungi aksi kelayakan yang akan bermula pada 4 Jun depan, skuad negara terlebih dahulu diuji pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Bahrain di Stadium Nasional, Riffa malam esok.