TAIPEI – Bintang filem Amerika Syarikat (AS), John Cena membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat China selepas tersilap menyebut Taiwan adalah sebuah negara, lapor stesen televisyen CNN semalam.
Cena yang sedang giat mempromosi filem terbaharunya, Fast And Furious 9 (F9), membuat kesilapan itu ketika menghadiri temu bual bersama stesen televisyen Taiwan, TVBS.
“Taiwan adalah negara pertama yang boleh menonton filem F9,” katanya dalam bahasa Mandarin.
Taiwan adalah sebuah pulau yang mengamalkan pentadbiran sendiri berteraskan sistem demokrasi tetapi China menganggap Taiwan wilayahnya. Beijing dan Taipei mengamalkan pemerintahan secara berasingan sejak perang saudara berakhir lebih 70 tahun lalu.
Cena mengemukakan permohonan maaf berhubung isu tersebut di laman Weibo kelmarin. Weibo merupakan platform media sosial mirip Twitter yang popular di China.
Membuat ucapan dalam bahasa Mandarin, Cena tidak lagi menyebut nama Taiwan atau membincangkan kejadian itu secara terperinci, namun berkata, dia menghadiri banyak temu bual dan melakukan kesalahan secara tidak sengaja.
“Saya mohon maaf atas kesilapan saya.
“Saya perlu menegaskan bahawa saya sangat hormat dan sayang China serta rakyatnya,” kata Cena dalam video tersebut.
Cena mempunyai ramai peminat di China, malah memiliki lebih 600,000 pengikut di Weibo.
Video permintaan maaf Cena telah mengumpulkan kira-kira 7,000 respons di Weibo setakat ini.
Sebilangan netizen masih marah dengan kesilapan ucapan Cena dan menuduhnya tidak membuat persediaan secukupnya sebelum memberikan sebarang temu bual.
“Tolong katakan ‘Taiwan adalah sebahagian daripada China’ dalam bahasa Mandarin, jika tidak, kami tidak akan menerima permohonan maaf ini,” tulis seorang pengguna Weibo. – Agensi