NEW DELHI – Pasukan hoki India meletakkan harapan tinggi untuk menamatkan kemarau lebih 40 tahun dalam usaha meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun pada Julai depan.
Keyakinan itu diluahkan oleh pemain utama pasukan Bharat Army dan Nilakanta Sharma yang percaya kualiti skuad kali ini mampu menamatkan penantian kilauan emas yang kali terakhir dimenangi pada temasya Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.
Sebagai rekod, skuad hoki India telah memenangi pingat emas Sukan Olimpik sebanyak lapan kali dalam sejarah tetapi mereka gagal berbuat demikian sejak empat dekad lepas apabila sukan itu semakin didominasi oleh negara dari benua Eropah dan Amerika Selatan.
Kata Sharma, skuad kebangsaan India kali ini memiliki potensi yang sangat besar untuk menunaikan impian penyokong untuk sekali lagi menduduki podium teratas tetapi perlu mempamerkan rentak konsisten apabila saingan berlangsung nanti.
“Semua pemain kini sedang menjalani persiapan terbaik untuk meraih keputusan positif pada temasya Sukan Olimpik kali ini dan peluang bagi mencipta lembaran baharu sekali gus merekodkan sejarah terbentang luas.
“Fokus pasukan sudah tentu untuk menjuarai pingat emas yang secara tidak langsung menamatkan penantian lebih 40 tahun selepas kali terakhir kita memenangi saingan ini pada edisi 1980.
“Jika ditanya mengenai prestasi peribadi, saya kini berada di puncak karier dan bersedia untuk memacu jentera tengah bersama-sama kapten pasukan, Manpreet Singh jika diberi kepercayaan oleh jurulatih,” kata pemain berusia 26 tahun itu. –AGENSI