PUTRAJAYA: Bilangan petugas barisan hadapan yang dijangkiti wabak Covid-19 walaupun setelah mereka menerima vaksin adalah amat kecil dan belum lagi mencapai tahap serius.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, setakat ini daripada jumlah keseluruhan lebih 500,000 petugas berkenaan, hanya 870 orang yang disahkan ada pandemik itu.
“Ia melibatkan 219 orang yang menerima dos pertama manakala 651 orang lagi setelah lengkap dos kedua termasuk 97 orang daripadanya dalam tempoh 14 hari divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar secara maya di pejabatnya di sini hari ini yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.
Bagaimanapun ujarnya, sejumlah 449 orang lagi petugas barisan hadapan dikenal pasti sudah mempunyai kes Covid-19 sebelum mereka sempat menerima vaksin dos pertama.
Keadaan itu jelas Adham, kemungkinan disebabkan gelombang ketiga penularan pandemik itu di negara ini dengan paling banyak melibatkan petugas di Selangor, Kelantan dan Kedah.
Justeru, beliau memberi jaminan masyarakat tidak perlu bimbang dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan wajar segera mendaftar melalui pelbagai wadah yang sedia ada.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu dengan fasa pertama berakhir bulan lalu melibatkan setengah juta petugas barisan hadapan.
Adham turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan memandang serius isu kesihatan mental disebabkan kesan pandemik itu dan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -K! ONLINE