MUNICH – Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) mengesahkan bahawa bekas jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick bakal menggantikan Joachim Low sebagai ketua jurulatih pasukan Jerman sebaik Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) berakhir.
Meskipun menerima banyak tawaran daripada kelab-kelab ternama Eropah, namun Flick lebih memilih untuk membimbing Jerman bagi menghormati perjanjian yang dibuat dengan persatuan itu.
Khidmatnya ditagih banyak kelab selepas membimbing Bayern Munich memenangi dua gelaran Bundesliga selain menjulang trofi Liga Juara-Juara tahun lalu selepas dilantik sebagai jurulatih pada 2019.
“Semuanya berlaku dengan pantas sebelum saya tandatangan perjanjian ini tetapi saya gembira untuk bekerja sebagai jurulatih pasukan Jerman bermula musim luruh nanti.
“Saingan musim ini sudah berakhir dan pengalaman dua tahun di Bayern mampu membantu saya. Saya tidak sabar untuk mulakan tugas kerana Jerman memiliki ramai pemain berkualiti,” katanya.
Misi utama jurulatih berusia 56 tahun itu adalah bagi memastikan pasukan tersebut mencatat keputusan membanggakan pada kejohanan-kejohanan akan datang termasuk Euro 2024 di mana Jerman menjadi tuan rumah.
“Kami perlu hadapi kejohanan-kejohanan selepas ini dengan lebih optimis, terutamanya Euro 2024 kerana kami akan menjadi tuan rumah pada edisi tersebut,” ujarnya. – AGENSI