fbpx

Fail rayuan pembebasan Timbalan Pengarah Kanan DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabudin (belakang) dalam Kosmo! Online pada 8 April lalu apabila Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan rasuah RM150,000.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang bekas Timbalan Pengarah Kanan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap tuduhan menerima wang RM150,000 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Natrah, notis rayuan itu difailkan pihak pendakwaan selaku perayu di Mahkamah Tinggi di sini pada 13 April lalu.

“Notis rayuan itu dibuat atas alasan Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan tertuduh (Sabudin) di akhir kes pendakwaan tanpa memanggil tertuduh membela diri. Rayuan adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen tersebut, ” katanya.

Pada 8 April lalu Kosmo! Online melaporkan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Sabudin, 59, terhadap tuduhan menerima wang RM150,000 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin melepas dan membebaskan tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendengar keterangan semua saksi dan meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Tertuduh merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar.

Mengikut pertuduhan Sabudin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan, yang dikemukakan oleh beberapa syarikat. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI