PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew kini berada di Mesir bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin yang dijadual bermula Selasa hingga 30 Mei.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini, beliau memaklumkan ketibaanya disambut Kedutaan Malaysia di Mesir dan badan bukan kerajaan (NGO) United Kingdom (UK) yang terkenal dalam membantu di Gaza.
Menurut Ebit Lew, beliau akan mengurus dan membeli barang perubatan serta segala keperluan yang akan di hantar terus ke Gaza bermula hari ini.
“Perlu melalui prosesnya di Mesir untuk melalui sempadan Rafah satu-satunya laluan terus ke Gaza,” katanya di laman Facebook hari ini.
Jelas Ebit Lew, beliau terharu dengan sambutan dan layanan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang telah memudahkan urusannya.
“Terharu sangat dengan sambutan kedutaan Malaysia disini. Mereka sangat membantu dan memudahkan urusan kami.
“Betapa negara kita sangat sayangkan Palestin. Terima kasih atas doa dari semua rakyat Malaysia,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah menyokong usaha yang telah dilakukannya itu.
“Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin (Menteri Luar) dan Wisma Putra yang menyokong dan mempermudahkan semuanya.
“Semoga Allah SWT merahmati usaha kita semua demi misi kemanusiaan ini,” katanya.
Sehingga pukul 6.45 petang tadi telah dikongsi lebih 13,000 kali dan lebih 16,000 komen telah ditinggalkan pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan keselamatan dan dipermudahkan urusan Ebit Lew di negara terbabit.
Mereka juga turut menyokong penuh usaha yang telah dilakukan Ebit Lew di bumi bergolak itu.-K! ONLINE.