SHAH ALAM – Kelicikan seorang lelaki yang mendalangi sindiket dadah dengan menggunakan kawasan parkir awam sebagai lokasi utama pengedaran sejak enam bulan lalu tumpas selepas dicekup, baru-baru ini.
Suspek berusia 27 tahun itu dicekup pukul 3 petang pada 21 Mei lalu ketika berada di dalam kenderaan jenis Mazda di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Ampang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hasil tangkapan tersebut kemudiannya membawa rampasan keseluruhan dadah bernilai RM7.07juta melibatkan syabu seberat 30.1 kilogram (kg), ketamin (27.8kg), pil ekstasi (79.9kg) selain pil erimin (3.5kg).
Katanya, modus operandi parkir awam digunakan bagi mengelakkan dikesan polis dengan segala aspek pembayaran dilakukan juga di lokasi tersebut.
“Modus ini adalah terkini sering digunakan dengan suspek akan membawa kenderaan di tempat letak kenderaan awam dan meninggalkannya sebelum diambil ahli sindiket lain.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati suspek yang juga dalang pengedaran dadah telah bergiat aktif antara lima hingga enam bulan,” katanya pada sidang akhbar secara maya, hari ini.-K! ONLINE