LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate memberi bayangan untuk meletakkan Trent Alexander-Arnold di posisi tengah pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2020 nanti.
Bek kanan Liverpool itu kembali berada dalam senarai 33 pemain yang dipanggil selepas digugurkan pada aksi kelayakan Piala Dunia Mac lalu sehingga mengejutkan ramai orang.
Southgate mengakui Alexander-Arnold memiliki kualiti dari segi hantaran, jadi beliau tidak menolak kemungkinan pemain berusia 22 tahun itu akan beraksi di bahagian tengah.
“Saya tidak nafikan dia boleh bermain (posisi tengah). Bagaimanapun, dia tidak mendapat banyak peluang untuk melakukannya ketika dia dinaikkan pangkat ke pasukan utama dari Akademi Liverpool.
“Dia memiliki kemampuan yang sangat baik dari segi hantaran dan merupakan perancang walaupun beraksi di bek kanan, mungkin tidak salah jika kami mencubanya beraksi di bahagian tengah pula selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Southgate juga menepis dakwaan yang mengatakan beliau tidak pandai menilai pemain selepas menggugurkan Alexander-Arnold sebelum ini.
“Orang fikir saya anggap Trent bukan seorang pemain yang baik sedangkan bukan itu masalahnya. Kami sentiasa berkomunikasi dan saya juga tahu dia adalah pemain yang sangat berkualiti serta mampu memberi sumbangan besar,” ujarnya. – AGENSI