SEBERANG PERAI – Sebuah tapak pembinaan perumahan di Mukim 6, Tasek Gelugor di sini diarah tutup selama tujuh hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung maklumat pekerja.
Ia berikutan dianggarkan kira-kira 50 pekerja warga asing telah ‘lesap’ selepas pihak berkuasa mengadakan operasi bersepadu di tapak pembinaan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi.
Pengarah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tapak projek berkenaan daripada pihak kontraktor.
“Keduanya, kita mengeluarkan notis penutupan tapak bagi kerja-kerja pembinaan dalam tempoh tujuh hari untuk kontraktor memaklumkan bilangan sebenar pekerja.
“Mengikut wakil kontraktor hari ini ada 81 pekerja, manakala bilangan yang dapat dikumpul hanya 28 orang dan kita nak tahu apa terjadi kepada selebihnya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Operasi berkenaan disertai kira-kira 60 pegawai dan anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Tenaga Kerja dan CIDB.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai RM20,000 selepas kontraktor didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- K! ONLINE