REMBAU – Seorang warga emas bimbang dengan masa depan anak angkatnya, Umi Kalsom Suguletchumy Abdullah, 46, kerana belum memiliki MyKad meskipun telah berusaha untuk mendapatkannya sejak 30 tahun lalu.
Ramli Rashid, 69, berkata, dia tidak tahu di mana kesilapannya dalam urusan mendapatkan MyKad itu terutama berkaitan dokumen penting.
Ujarnya, setakat ini dia hanya berjaya memperoleh surat beranak Umi Kalsom pada 2006.
“Saya terpaksa menanggung sepenuhnya kehidupan Umi Kalsom kerana dia sukar mendapat pekerjaan tanpa dokumen pengenalan diri.
“Arwah isteri saya merupakan jururawat yang bertugas di Taman Seri Puteri Rembau di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sekitar tahun 1992, kami nekad menjadikan penghuni rumah itu yang tiada hala tuju selepas keluar sebagai anak angkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Chembong di sini semalam.
Cerita Ramli, enam anak angkat yang diambil mereka kini sudah mampu berdikari dan hanya tinggal Umi Kalsom seorang lagi.
Katanya, wanita itu mengalami masalah pemikiran lambat susulan sejarah kehidupannya yang menyedihkan.
“Umi Kalsom pernah menjadi penghuni di sebuah rumah penjagaan kanak-kanak di Pahang selepas ditemui berkeliaran seorang diri ketika berusia kira-kira tiga atau empat tahun.
“Sebaik cukup umur 12 tahun, Umi Kalsom yang tidak bersekolah harus keluar dari pusat jagaan itu. Sekali lagi dia hidup bergelandangan sebelum diselamatkan JKM pada 10 April 1992 di Kuantan, pada usia 17 tahun,” katanya.
Ramli berkata, Umi Kalsom kemudiannya dihantar ke Taman Seri Puteri Rembau sebelum dijadikan anak angkatnya.
“Kalau dihitung sudah hampir 30 tahun kami berusaha mendapatkan MyKad, namun sehingga kini masih gagal.
“Saya penat turun naik pejabat menguruskan hal ini sejak tahun 1992 lagi. Kali terakhir tiga bulan lalu di Seremban, namun pulang dengan hampa.
“Sekurang-kurangnya sebelum saya menutup mata, biarlah Umi Kalsom dapat MyKad supaya dia tidak perlu takut keluar rumah dan mudah mencari pekerjaan,” katanya.-K! ONLINE