GUA MUSANG – Kira-kira 11,000 orang penduduk di daerah ini mendaftar sebagai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dua bulan lalu
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Gua Musang, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah membuka empat kaunter di sekitar bandar Gua Musang bagi memudahkan orang ramai mendaftar dalam program itu.
Katanya, selain itu, seramai 50 anggota APM ditugaskan sebagai Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) untuk membantu pendaftaran penduduk secara manual.
“Secara puratanya, kita berjaya mendaftar 200 individu setiap hari untuk menerima suntikan vaksin.
“Sambutan orang ramai untuk mendaftar vaksin itu semakin meningkat terutamanya daripada warga emas dan golongan muda,” katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru di sini hari ini.
Mohd. Yussalmi berkata, selain membuka kaunter pendaftaran di kawasan tumpuan orang ramai, pihaknya juga telah pergi dari rumah ke rumah penduduk termasuk di Rancangan Tanah Felda dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), Kesedar.-K! ONLINE