SINGAPURA – Gelagat seorang wanita di Singapura yang memakai alat pernafasan pembersih udara berkuasa (PAPR) di lokasi awam mencuri perhatian orang ramai dan menjadi tular di media sosial, lapor portal berita Mothership hari ini.
Sut kelihatan seperti karakter dalam permainan video, Assassin’s Creed itu dimuat naik oleh seorang atlet paralimpik Singapura, Shariff Abdullah yang mengakui kagum dengan tindakan bijak wanita itu.
PAPR sering digunakan dalam bidang perubatan oleh pekerja barisan hadapan yang mengendalikan kes Covid-19 secara langsung setiap hari.
Peralatan yang dikuasakan oleh bateri itu membantu pemakainya melindungi diri daripada gas, wap dan zarah tercemar termasuk koronavirus.
Udara akan memenuhi ruang pada bahagian penutup kepala yang seterusnya akan dikeluarkan.
Keadaan ini akan mewujudkan ruang antara wajah pemakai dan penutup kepala serta menghasilkan daya tahan pernafasan yang rendah berbanding memakai pelitup muka.
PAPR juga boleh dipakai bagi tempoh masa yang lama tanpa perlu dibuka.
Bagaimanapun, penghalang terbesar yang menyukarkan orang ramai daripada menggunakannya berkemungkinan disebabkan oleh harganya iaitu lebih daripada 1,100 dolar Singapura (RM3,442) untuk satu unit. – Agensi