JOHOR BAHRU – Polis mengeluarkan kompaun terhadap 16 ahli keluarga dan seorang pengurus pusat pengebumian kerana mengadakan upacara pengebumian tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam norma baharu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, pada pukul 11 pagi, semalam.
Katanya, kesemua mereka dikenakan kompaun kerana majlis tersebut diadakan melebihi bilangan ditetapkan iaitu seramai 10 orang sahaja.
“Polis telah menerima aduan mengatakan terdapat ramai orang berkumpul di Nirvana Memorial Park Sdn. Bhd. di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.
“Pemeriksaan dibuat mendapati terdapat 11 lelaki tempatan dan enam perempuan tempatan sedang melakukan upacara pengurusan jenazah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua yang dikenakan kompaun berusia antara 18 hingga 86 tahun yang terdiri daripada ahli keluarga si mati beserta seorang pengurus premis.
“Tindakan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.
“Jika sabit kesalahan penganjur boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 manakala setiap individu dikenakan kompaun sebanyak RM2,000,” ujarnya lanjut.
Sehubungan itu Mohd. Sohaimi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. – K! ONLINE