GDANSK – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sedia memulakan era baharu pasukan itu dengan menjulang trofi Liga Europa di PGE Arena Gdansk awal pagi esok.
Pada aksi final bagi kempen 2020/21 itu, skuad The Red Devils akan membuat perhitungan dengan wakil La Liga, Villarreal.
Solskjaer berharap mereka boleh menamatkan penantian selama empat tahun untuk memenangi trofi pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2017 ketika menjulang trofi yang sama.
“Sudah tentu semua pengurus akan rasa tekanan untuk cuba memenangi sesuatu. Kami sudah menunjukkan perkembangan yang baik dalam saingan liga sebelum ini.
“Memenangi trofi akan memberi kami keyakinan serta membuatkan kami lebih bersemangat memburu kejuaraan lain. Saya tahu semua pemain mahu merasai pengalaman menjulang trofi kejuaraan,” kata pengendali dari Norway itu.
Pada masa sama, beliau juga menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pemain-pemainnya untuk menampilkan aksi terbaik bagi membolehkan mereka membawa pulang trofi ke Old Trafford.
“Saya yakin semua pemain berkobar-kobar untuk perlawanan ini. Mereka semua berharap kemenangan itu nanti akan jadi permulaan baharu untuk pasukan kembali ke era kegemilangan,” ujarnya. – AGENSI