PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) terus menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan kawalan pergerakan kendiri dan keluarga sebagai langkah memutuskan rantaian penularan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini mengambil kira situasi semasa yang semakin serius dengan Covid-19 menular di kebanyakan tempat, akibat daripada peningkatan kes-kes sporadik dalam komuniti.
“Secara tidak sedar, sesiapa sahaja boleh dijangkiti atau menjangkiti individu lain. Hakikatnya virus tidak bergerak, yang bergerak adalah manusia dan yang berhimpun juga adalah manusia.
“Lebih-lebih lagi jika masyarakat tidak memakai pelitup muka, saling bersentuhan, tidak menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu hingga dua meter di antara satu sama lain, bersesak-sesak di tempat sempit dan tiada pengudaraan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, tindakan-tindakan tersebut perlu dielakkan oleh semua pihak supaya rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus mempraktikkan kawalan pergerakan kendiri dan keluarga serta kurangkan berada di luar rumah,” katanya.
Noor Hisham turut berkongsi antara amalan atau langkah boleh dilakukan seperti kekal duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu, sekiranya perlu keluar, hanya seorang wakil bagi setiap rumah serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, selain itu, bekerja dari rumah manakala majikan perlu akur keputusan Majlis Keselamatan Negara, rancang pergerakan bagi mengelakkan kesesakan di tempat awam selain elakkan menyertai aktiviti berisiko melibatkan orang ramai.
Beliau menambah, kekal sihat dengan mengamalkan pelbagai aktiviti senaman di dalam kawasan rumah sendiri, mengamalkan prinsip tidak menerima tetamu di rumah selain beribadah di rumah bersama ahli keluarga atau isi rumah masing-masing.
“Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri, keluarga, masyarakat dan negara kita,” ujarnya. – K! ONLINE