fbpx

Pusat beli-belah kini sunyi, lengang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN ruang legar pusat beli-belah JBCS, Johor Bahru, Johor yang lengang semalam ekoran pelaksanaan PKP yang lebih ketat.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF, KHAIRULMIZAN YAHYA dan SHARKAWI LONDING

PETALING JAYA – Suasana di pusat beli-belah di seluruh negara­ didapati lengang tanpa kehadi­ran ramai pengunjung pada hari pertama pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat bermula semalam.

Tidak seperti kebiasaan, tidak ramai pengunjung yang mema­su­ki­ pusat beli-belah di sekitar bandar raya seluruh negara ekoran nasihat kerajaan agar kekal di rumah.

Di Terengganu tinjauan Kosmo!­ mendapati hampir kesemua kedai sunyi tanpa pelanggan selain sebahagian pemilik kiosk jualan memilih untuk menutup operasi perniagaan mereka bagi mengelak lebih kerugian.

Salah seorang peniaga di medan selera KTCC Mall berkata, situasi itu memberi kesan buruk kepada golongan peniaga dan menyifatkan tindakan kerajaan tetap membuka sektor ekonomi tidak memberi sebarang makna.

Dia yang enggan dikenali mendakwa, tiada gunanya pusat beli-belah dibenarkan berope­rasi sedangkan masyarakat yang memiliki kuasa membeli digalakkan tidak keluar rumah.

“Kami terpaksa menanggung kerugian ekoran penurunan mendadak pengunjung yang mula dirasai sejak beberapa minggu lalu dan impaknya lebih besar hari ini (semalam).

“Lebih baik tutup sahaja sektor ekonomi dan bagi bantuan kepada rakyat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di KTCC di sini semalam.

Dia mengakui agak runsing memikirkan cara untuk menampung kos sewa kedai berjumlah RM4,500, pembayaran gaji pekerja­ dan kos membeli barang mentah sedang sambutan pelanggan amat dingin pada masa ini.

“Saya tidak tolak kemung­kinan tutup perniagaan sehingga PKP 3.0 berakhir. Jika terus berniaga, dapat penat dan rugi sahaja,” luahnya.

Di Pahang, walaupun pusat beli-belah dibenarkan berope­rasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini, namun keadaannya lengang serta kebanyakan premis perniagaan di dalamnya juga tutup.

Tinjauan mendapati hampir 90 peratus premis perniagaan di dalam pusat beli-belah terbabit tidak beroperasi kecuali restoran dan gerai makan yang menjalankan perniagaan secara bungkus sahaja.

Keadaan di pusat beli-belah di bandar ini hampir sunyi apabila jumlah pengunjung tidak ramai dan hanya pekerja penghantar makanan sahaja yang kelihatan berada di lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, tinjauan di beberapa pasar raya di bandar ini mendapati aktiviti perniagaan berjalan seperti biasa dengan jumlah pengunjung yang masih ramai untuk membeli barangan keperluan harian.

Di Johor, rata-rata peniaga di dua pusat beli-belah di bandar raya ini merungut apabila tidak ramai pelanggan datang sejak PKP dilaksanakan susulan pandemik Covid-19.

Pemilik butik Rya Sophia Couture, Zuraidah Mohammad berkata, perniagaannya semakin merudum sejak PKP 1.0 dilaksa­nakan Mac tahun lalu.

Jelasnya, untuk menerima 10 pelanggan dalam sehari amat sukar sekaligus dia terpaksa melipatgandakan cara perniagaannya kepada dalam talian.

“Bulan Ramadan hari itu, alhamdulillah ramai juga datang secara walk-in untuk membeli pakaian baju raya dan aksesori.

“Selain musim perayaan memang teruk nak dapat 10 pelanggan sehari pun susah kadang-­kadang tak ada langsung pun ada,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo!­ di dua buah pusat beli-belah Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) dan Johor Bahru City Square (JBCS) mendapati suasana lengang selepas seminggu umat Islam menyambut Syawal.

Malah banyak premis terpaksa menutup perniagaan susulan tiada sambutan pelanggan sekaligus menjejaskan pulangan perniagaan mereka. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI