PETALING JAYA – Dua individu warga asing ditahan dalam satu serbuan selepas disyaki menjalankan kegiatan mesin perjudian dalam talian di sebuah premis sekitar Overseas Union Garden dekat sini semalam.
Serbuan pada pukul 10.50 malam itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama pakar judi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kedua-dua suspek warga asing terbabit terdiri daripada seorang lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis.
“Polis turut berjaya merampas tujuh set komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian.
“Rampasan tersebut telah dianalisis oleh pakar judi yang hadir ketika serbuan dilakukan dan ia disahkan komputer yang digunakan terdapat unsur-unsur perjudian dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Anuar, kedua-dua tangkapan juga didapati gagal mengemukakan pas perjalanan yang sah dan dibawa balik ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut penyiasatan.
“Polis Brickfields akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian haram.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE