fbpx

Penjenayah maut terjun tebing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta yang dinaiki anggota polis dan suspek selepas terlibat dalam satu kemalangan di Taman Len Seng semalam

PETALING JAYA – Seorang penjenayah maut selepas bertindak nekad dengan terjun dari tebing berketinggian kira-kira enam meter ketika cuba melarikan diri dari pihak polis di Taman Len Seng semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, seorang anggota polis berpangkat Koperal turut dilaporkan cedera akibat tertembak diri sendiri selepas berlaku kemalangan membabitkan kenderaan suspek dan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pada awalnya, polis telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Cheras Sentral yang dipandu seorang lelaki bersama kekasihnya berada dalam keadaan mencurigakan.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kemudian telah menghampiri kereta terbabit untuk pemeriksaan.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran pihak polis tersebut telah bertindak mengundur dan melanggar kereta polis sebanyak tiga kali sebelum berjaya meloloskan diri,” katanya ketika sidang akhbar di pekarangan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, polis kemudian telah mengejar kenderaan suspek sehingga ke Taman Len Seng sebelum berlaku kemalangan membabitkan kereta suspek dan anggota polis.

“Impak kemalangan tersebut menyebabkan salah seorang anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun telah cedera akibat tertembak lengan kanannya. Dalam masa sama, suspek bertindak keluar dari keretanya untuk melarikan diri dan terjun di tebing yang berketinggian kira-kira enam meter.

“Suspek warga tempatan berusia 30 tahun tersebut ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.

Tambah Mokhsein, semakan mendapati, suspek mempunyai 25 rekod lampau membabitkan jenayah kekerasan seperti cubaan bunuh dan samun bersenjata(7), kes pecah rumah(10) dan lapan kes dadah.

“Polis turut menahan teman wanita suspek yang berada di dalam kereta dipandu suspek ketika kejadian. Soal siasat kemudian membawa tangkapan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Myanmar pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di sekitar kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah. Kereta diguna suspek juga telah dilapor hilang di Kajang,” ujarnya.

Polis percaya, operasi tersebut telah menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan kedai di kawasan Cheras dan Kajang dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI