fbpx

Pengasuh bayi mati lemas ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengasuh wanita ditahan di rumahnya di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam malam tadi.

SEBERANG PERAI – Seorang pengasuh wanita ditahan selepas seorang bayi perempuan berusia setahun enam bulan yang dijaganya maut akibat lemas di sebuah rumah di Taman Seri Juru, Bukit Mertajam di sini kelmarin.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam selepas polis menerima laporan daripada pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini berhubung kematian mangsa kira-kira pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian itu disedari anak perempuan suspek berusia 16 tahun yang melihat wanita itu memegang mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas di tingkat bawah rumah teres dua tingkat tersebut.

“Siasatan awal terhadap suspek pula mengatakan mangsa dalam keadaan tidak sihat dan telah muntah-muntah sebelum anaknya itu menghubungi ambulans pada pukul 11.37 pagi.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di HSJ mendapati dia mati akibat lemas,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Shafee, siasatan lanjut pihaknya mendapati mangsa telah dihantar untuk dijaga saudaranya itu sejak kira-kira sebulan yang lalu.

“Dia merupakan ibu saudara kepada ibu mangsa dan suspek tinggal bersama suami dan seorang anak perempuannya di rumah itu.

“Mangsa akan dihantar pada pukul 10 pagi dan diambil kira-kira pukul 6 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat,” katanya lagi.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan seperti seluar dalam mangsa, besin mandi plastik, sampel air mandian, rambut, bangku plastik dan sapu tangan bagi siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI