fbpx

Penduduk Bagan Serai beli barang persediaan PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai yang berkunjung ke Pasar Awam Bagan Serai beratur panjang untuk mendapat kad angka giliran bagi membolehkan mereka masuk ke dalam pasar untuk membeli bekalan makanan mentah.

BAGAN SERAI – Pengalaman melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini membuatkan penduduk di mukim Bagan Serai di sini lebih bersedia dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Mei hingga 9 Jun ini.

Tinjauan di Pasar Awam Bagan Serai dan Pasaraya Econsave mendapati, kebanyakan penduduk membeli barang-barang keperluan sebagai persediaan.

Pekerja swasta, Mohamad Riduwan Ahmad, 35, berkata, dia mengambil peluang cuti Wesak untuk membeli barang-barang dapur yang secukupnya agar tidak perlu keluar rumah semasa PKPD.

“Saya membeli barang-barang perlu sahaja termasuk makanan kering.

“Walaupun jarak rumah dengan kedai-kedai dekat, tetapi saya ambil pendekatan mendisiplinkan kendiri agar tidak keluar rumah di sepanjang tempoh PKPD agar dapat memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Pasaraya Econsave.

Pengurus Cawangan Econsave Bagan Serai, Mohd. Fared Arshad pula memberitahu, premis itu akan beroperasi seperti biasa semasa tempoh PKPD nanti dan orang ramai masih boleh berbelanja tetapi hendaklah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan lebih teliti juga dilakukan kakitangannya yang di tempatkan di pintu masuk selain memeriksa paparan pada aplikasi MySejahtera pelanggan.

“Kita mengambil pendekatan ini supaya pelanggan yang hadir bukan berisiko tinggi.

“Kapasiti pula hanya 60 orang pelanggan pada satu-satu masa mengikut nombor giliran yang diberikan bertujuan mengelak kesesakan dan mengamalkan penjarakkan fizikal ketika membeli belah di pasaraya ini,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Awam Bagan Serai turut mendapati orang ramai terpaksa beratur panjang dengan dua barisan di luar pintu masuk ke premis itu.

Kakitangan Majlis Daerah Kerian pula mengawal pintu masuk ke dalam pasar dan memberi kad kupon bernombor kepada pengunjung bagi mengelakkan berlakunya kesesakan dengan membenarkan hanya 50 orang pelanggan pada satu-satu masa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI