fbpx

Misha, Sweet, Daiyan, Fatin kecewa, pendaftaran AstraZeneca macam Hunger Games

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sweet Qismina, Misha Omar, Daiyan Trisha dan Fatin Afeefa antara selebriti yang meluahkan kekecewaan kerana gagal mendapatkan slot tempahan suntikan vaksin yang dibuka tengah hari tadi.

PETALING JAYA – Pendaftaran vaksin AstraZeneca fasa kedua yang dibuka hari ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat termasuklah golongan selebriti apabila ramai mengadu gagal menembusi laman web gara-gara kelemahan teknikal.

Sejak dibuka pukul 12.15 tengah hari tadi, laman web pendaftaran tersebut diserang rakyat yang panik dan berebut-rebut untuk mendapatkan slot suntikan vaksin bagi diri sendiri dan juga ahli keluarga.

Ramai kalangan selebriti meluahkan kekecewaan dengan sistem yang digunapakai laman web tersebut kerana gagal menekan butang daftar.

Pelakon Sweet Qismina dalam satu hantaran meluahkan rasa tidak puas hati dengan capaian laman web pendaftaran vaksin yang berdepan dengan banyak masalah seperti gagal menekan butang negeri.

“Sesiapa yang buat laman web ini, tolonglah ada strategi yang tinggi untuk buatkannya berfungsi. Banyak sangat isu. Tak boleh tekan negeri.

“Semua slot tiba-tiba bertukar warna hijau dan kami tidak tahu mana satu yang sudah penuh. Kami pun tidak tahu berapa banyak slot vaksin yang tinggal. Setiap kali tekan butang muat semula (refresh), dah kena isi balik semua,” tulisnya.

Perkara sama diluahkan penyanyi dan pengacara Daiyan Trisha yang ternyata kecewa kerana rakyat terpaksa berebut mendapatkan slot suntikan vaksin.

“Sedih dan kecewa. Kenapa sampai macam ni rakyat nak kena berebut vaksin? Bermacam-macam jenis penindasan nak kena hadap.

“Lepas satu, tambah lagi satu. Sampai bila, sejauh mana? Saya hilang kata-kata dan sudah tidak boleh memikirkannya lagi,” ujarnya dalam satu ciapan Twitter.

Sementara penyanyi Misha Omar juga memberitahu, dia gagal mendaftarkan temu janji suntikan untuk dirinya dan suami gara-gara masalah teknikal yang dialami.

Meskipun sudah mencubanya berulang kali, namun dia masih gagal merebut tempahan slot berkenaan.

“Selepas beberapa ketika, lepas peringkat seterusnya untuk pilih tarikh slot. Tetapi tetap dia mainkan perasaan, cakap tarikh yang dipilih sudah penuh.

“Perlumbaan yang sangat susah. Tak apa, niat tu yang penting okey? Kita jaga kita. Vaksin untuk lindungi diri dan jaga orang sekeliling. Kita cuba lagi nanti,” katanya.

Bagi pelakon Fatin Afeefa pula, dia berasa kecewa kerana semua orang terpaksa berebut hanya kerana mahu diri dilindungi daripada penyakit.

“Laman web dengan kos RM70 juta. Tak faham kenapa sampai perlu berebut? Ini bukan Hunger Games. Saya sedang berjuang untuk kesihatan saya.

“Apa yang saya perlukan cuma vaksin. Jika kena bayar, tidak mengapa,” katanya yang bagaimanapun berjaya menempah slot untuk ibunya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI