MONTE CARLO – Ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner mengakui anak didiknya, Max Verstappen berhak untuk memimpin carta kejuaraan musim ini selepas muncul juara di Grand Prix (GP) Monaco pada Ahad lalu.
Pelumba Belanda itu meraih kemenangan di litar Monte Carlo selepas seteru utama Lewis Hamilton (Mercedes) sekadar menamatkan perlumbaan tempat ketujuh sekali gus memimpin carta kedudukan dengan kelebihan empat mata.
Lebih menarik kemenangan tersebut memastikan pasukan Red Bull melonjak ke kedudukan pertama dalam kategori pengeluar sejak GP Brazil pada 2013.
Justeru, Horner yakin kemenangan tersebut adalah permulaan terbaik bagi pasukannya untuk mempamerkan persembahan cemerlang dan terus memberi tentangan di sepanjang perlumbaan musim ini.
“Saya rasa penting untuk mengambil peluang di sini (Monaco) dan kemenangan Verstappen adalah layak baginya selepas bekerja keras sepanjang tahun lalu.
“Kita perlu sedar bahawa saingan masih lagi panjang dan kami perlu bekerja keras serta fokus untuk menghadapi perlumbaan akan datang.
“Bagi kami, untuk memimpin kedua-dua kategori adalah luar jangkaan. Sudah pasti ia saingan yang menarik dan mencabar buat kami untuk mengekalkan kedudukan ini,” kata Horner.
Dalam pada itu, Horner turut memberi pujian kepada enjin Honda yang membantu mereka menghasil jentera terbaik dan kemenangan tersebut adalah pertama mereka di Monaco.
“Honda melakukan kerja yang hebat, saya rasa ini adalah kemenangan pertama mereka di Monaco sejak 1992 dan kali pertama mereka memimpin kejuaraan sejak tahun 1991. Mereka juga berhak mendapat penghargaan penuh atas kemenangan ini,” tambahnya. – AGENSI