TIDAK puas dengan catatan HibGlam sehari sebelum perayaan Aidilfitri yang menggabungkan tiga ratu air mata, Norlia Ghani, Fauziah Nawi dan Wan Maimunah tempoh hari, tulisan ini barangkali sebuah sambungan rapsodi jiwa yang belum terlestari buat wanita separuh abad itu.
Penulis kembali ‘bergayut’ dengan seorang daripada mereka, Wan Maimunah atau nama lengkapnya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 67, melalui panggilan telefon seketika usai beberapa hari artikel tersebut terbit.
Pelakon yang pernah memenangi trofi Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) untuk lima tahun berturut-turut (1992 – 1996) itu tidak henti-henti mengucapkan terima kasih atas kesudian HibGlam.
Bukan sahaja menjadikannya penghias muka surat hadapan tetapi menyatukan dengan dua orang sahabat industrinya, Norlia dan Fauziah. Itu sangat nostalgik!
“Terima kasih nak (anak) sudi borak-borak dengan ibu (pengganti diri Wan Maimunah). Susah-susah ambil ibu di Ijok, Kuala Selangor, pakaikan ibu baju cantik-cantik.
“Paling penting dapat kumpulkan ibu dengan Kak Norlia dan Fauziah. Bukan senang nak buat. Kami ini orang tua banyak songeh (tertawa),” kata anak seni kelahiran Johor Bahru itu.
Vaksin
Galau bersulam kerisauan terhadap situasi mencanak penularan Covid-19, wanita yang lebih molek penulis bahasakan ibu juga itu berkata, sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab, dia menjalankan setiap saranan kerajaan sehabis baik.
Dari segi kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pendaftaran vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, semuanya tidak tergamak diingkari. Sesungguhnya, dia amat merindui suasana lebih setahun lalu, sewaktu dunia bebas daripada wabak maut berkenaan.
“Tak tahu nak cakap macam mana sekarang ini. Bagi ibu, semua yang berlaku ada hikmah dan atas ketentuan Allah. Bukan bermakna ibu berpeluk tubuh atau ‘terlentang’. Tidak sama sekali.
“Sebagai orang tua, hidup ibu pun mungkin tak lama lagi, tetapi perjalanan masih panjang buat anak-anak muda.
“Kalau ibu boleh taat kepada saranan kerajaan dan buat apa yang patut, kenapa segelintir daripada orang muda tak boleh buat perkara sama,” ujarnya mula beremosi.
Katanya, bermacam-macam versi cerita yang disebarkan baik melalui media sosial mahupun aplikasi perbualan yang sudah seperti menjadi resmi saban hari iaitu, WhatsApp.
“Ibu tak nafikan, selalu dapat mesej mengatakan vaksin tak bagus, nanti kalau cucuk vaksin badan kita bertukar DNA. Tidak kurang ada yang kata vaksin ini, agenda Yahudi untuk melemahkan umat Islam.
“Sebagai orang tua, ibu pun runsing, nak percaya atau tidak. Tetapi mujur ada anak angkat yang ibu tinggal bersama sekarang (Ita) selalu beritahu, apa yang boleh dipercayai dan apa yang sebaliknya.
Kesihatan
“Ibu sebenarnya tak sabar nak divaksin. Hari-hari ibu periksa aplikasi MySejahtera nak tahu sama ada giliran ibu sudah sampai atau belum.
“Tetapi sampai sekarang masih belum ada keputusan, tetapi tidak mengapa, kita tunggu sahaja kerana mungkin orang lain lebih memerlukannya,” katanya.
Ditebak pertanyaan status kesihatannya sekarang, Wan Maimunah yang sebelum ini beberapa kali dimasukkan ke hospital disebabkan masalah berkaitan bengkak jantung dan jangkitan kuman dalam paru-paru berkata, kondisi tubuhnya baik-baik sahaja.
“Alhamdulillah, walaupun usia semakin mencemburui, ibu sihat. Ibu ada komplikasi yang digelarkan ‘paru-paru sempit’.
“Disebabkan itu, ibu kena sedut nebuliser atau sejenis pam pakai buang untuk menstabilkan paru-paru satu bekas setiap bulan. Tetapi jangan risau, buat masa sekarang, semuanya okey.
“Kena jaga makan sahaja. Apabila sudah berusia, makan kena pantang sikit, bukan macam waktu muda dahulu, semua benda kita sauk (ketawa).
“Tak usahlah tanya berapa kos perubatan ibu. Setakat ini, ibu boleh tanggung sendiri. Anak-anak ‘anugerah Allah’ ramai,” katanya yang sudah menganggap anak-anak angkatnya seperti darah daging sendiri.
Luahan tersebut seperti membawa penulis ke topik selanjutnya. Wan Maimunah menitipkan pesanan kepada semua anak muda yang tidak berpeluang pulang ke kampung agar sentiasa bertanya khabar tentang orang tua masing-masing.
Batu nisan
“Rajin-rajinlah telefon orang tua di kampung. Kalau ada data lebih, buat panggilan video. Ibu bapa tidak mengharap sangat pun duit anak-anak, sebaliknya sentuhan dan perhatian bersifat kasih sayang itu yang paling berharga buat mereka.
“Jangan nanti, dah jadi batu nisan baru nak telefon. Sementara mereka (ibu bapa) masih hidup, inilah waktu untuk anak-anak bersembang walaupun dengan hanya panggilan telefon,” katanya yang baru-baru ini muncul dengan drama terbaharu, Tak Sempurna Mencintaimu.
Tambah pelakon yang cukup dikenali menerusi telefilem Terlerai Takbir Kasih itu, hati orang tua sangat sensitif terutama apabila usia semakin bertambah.
Katanya, dramatis yang pernah membintangi drama Frontliner itu juga, anak-anak yang sedang mendepani kehidupan serba pantas dan sibuk mengejar harta duniawi, tidak berasa terbeban seandainya ibu bapa mereka berubah perangai menjadi sedikit kebudak-budakan.
“Jangan rasa terbeban andai suatu hari nanti, ibu bapa berperangai kebudak-budakan dan mudah terlupa.
“Ibu percaya orang tua di kampung akan selalu ingat anak-anak. Tetapi, tak semua anak-anak ingat orang tua mereka di kampung. Mungkin sukar ditelan realiti tetapi itu yang berlaku.
“Jadi, ibu percaya, ada hikmahnya Allah turunkan Covid-19. Antaranya, supaya kasih sayang antara orang tua anak anak-anak lebih dihargai. Insya-Allah, kita semua kuat dan tabah untuk mengharungi dugaan ini,” ujarnya menggulung perbualan.