GDANSK – Jurulatih Villarreal, Unai Emery sedia untuk mencipta rekod peribadi menjelang final Liga Europa menentang Manchester United di PGE Arena Gdansk awal pagi esok.
Emery dianggap antara pengurus paling cemerlang dalam sejarah Liga Europa apabila memenanginya tiga kali berturut-turut bersama Sevilla pada 2014, 2015 dan 2016.
Kata Emery, beliau yakin skuad kendaliannya akan muncul sebagai pemenang pada perlawanan akhir nanti biarpun menentang United yang dianggap sebagai pasukan pilihan.
“Kami hormati United sebagai sebuah pasukan yang hebat tetapi kami yakin untuk memenangi trofi Liga Europa. Mereka tidak akan berdepan laluan mudah pada perlawanan itu nanti.
“Sudah tentu mereka adalah pasukan pilihan dari awal lagi. Bagaimanapun, kami tetap anggap Villarreal sebagai pasukan pencabar kerana berjaya mara ke perlawanan akhir,” kata Emery.
Biarpun sedar pasukan-pasukan England menguasai pentas Eropah pada saingan musim ini, namun beliau tekad untuk melakar kejutan dengan menewaskan United awal pagi esok.
“Pasukan Liga Perdana mendominasi Eropah ketika ini. Bagaimanapun, inilah cabaran yang perlu kami hadapi untuk menjadi juara. Saya fikir pasukan kami sebaris dengan mereka,” ujarnya. – AGENSI