fbpx

Elak diri jadi penyebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

KAU rasa derhaka tak aku? Nak dekat dua tahun tak balik raya,” soal seorang teman penulis baru-baru ini sewaktu menyuarakan nada rakyat marhaen selepas kerajaan melarang aktiviti rentas negeri ketika Aidilfitri.

Penulis diam seketika, mencari jawapan terbaik atas perta­nyaan itu. Tidak dinafikan, ramai anak rantau sudah penat menanggung rindu.

Manakan tidak, sudah dua tahun mereka dalam kesepian meraikan Aidilfitri di ibu kota, sunyi tanpa insan istimewa di sisi se­perti diraikan sebelum ini.

Jika diikutkan suara hati, ramai anak rantau mahu berada di kampung ketika ini, mengucup sucinya tangan wanita bergelar ibu, memohon restu insan bergelar ayah.

Namun, tindakan itu bukanlah sesuatu keputusan tepat lebih-lebih lagi ketika negara berdepan cabaran Covid-19 yang membimbangkan. Persetankan dahulu rasa rindu dan jangan penting diri.

Dalam konteks ini, tindakan penting diri anak rantau melempiaskan rasa rindu mampu menjadi punca kepada kewujudan kluster Covid-19 apabila berisiko memindahkan virus itu kepada kedua-dua ibu bapa seterusnya ahli keluarga lain.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan turut mengesan sebanyak 46 kluster jangkitan Covid-19 berikutan kedegilan itu termasuk kes rentas negeri dari Johor ke Sarawak yang menjangkiti hampir 2,693 individu lain.

Menurut Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun, kedegilan warga kota mencuri balik kampung ketika Aidilfitri bukan sahaja membahayakan nyawa orang tua, malah mengundang risiko kewujudan kluster baharu.

“Kawasan di ibu kota semua­nya berstatus merah dan antara paling berisiko, jika anak itu dari Kuala Lumpur dan pulang ke kampung, pastinya akan ada jangkitan yang dibawa ke sana.

“Ya, mereka boleh guna pelbagai alasan dan tipu helah, namun persoalannya siapakah yang mereka tipu, diri sendiri atau kerajaan?” katanya baru-baru ini.

Katanya, risiko pemindahan virus kepada orang tua kini menjadi lebih tinggi dengan kewujudan beberapa varian baharu Covid-19 seperti dari India.

“Sekiranya kerajaan benarkan pergerakan rentas negeri pada Aidilfitri, saya pasti kes Covid-19 di Malaysia akan melonjak secara drastik ekoran budaya rakyat negara ini yang gemar berziarah ketika perayaan.

“Kita akur sahaja dengan pe­rintah kerajaan, duduk di rumah dan jangan cuba-cuba rentas negeri walaupun dengan alasan mahu berjumpa ibu ayah di kampung. Moga ada peluang kita bersama Aidilfitri depan,” rayunya.

Meskipun ramai warga kota tidak dapat pulang ke kampung ketika Aidilfitri tetapi ia bukanlah penghalang kasih sayang memandangkan boleh dieratkan melalui jaringan media sosial.

Susulan itu, Pegawai Psikologi Universiti Sains Malaysia, Muhammad Firdaus Abu Mansor menasihatkan warga kota menggunakan platform media sosial untuk berhubung bersama ke­luarga ketika PKP.

“Nasihat saya, gunakan media sosial sebagai medium untuk kita menghubungi ibu ayah kita bagi bertanyakan khabar mereka dan bukannya merisikokan nyawa dengan pergerakan rentas negeri.

“Gunakan media sosial untuk kita luahkan rasa rindu kepada mereka, terus berada di rumah sepanjang Aidilfitri kerana tindakan itu diibaratkan cara kita terjemahkan rasa sayang kepada ibu bapa,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI